Cari harta sepencarian bukan sepencurian

IPOH 21 Okt. – Presiden Amanah, Mohamad Sabu menasihatkan bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; supaya mencari harta sepencarian dan bukan harta ‘sepencurian’.

“Dengarlah nasihat ku ini, bila jadi Perdana Menteri nanti, bersama Kak Wan (Dr Wan Azizah) carilah harta sepencarian bukan harta sepencurian, jangan jadi perdana menteri dulu dengan isterinya,” katanya di hadapan lebih 7,000 orang di Konvensyen PH malam tadi.

Mohamad yakin PH akan mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri.

“Saya berkeyakinan penuh kali ini, Pakatan Harapan akan mencapai kemenangan, in shaa Allah, tak mau bakal-bakal lagi dah, bakal Perdana Menteri, in shaa Allah 20 November ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, no bakal-bakal lagi,” katanya.

Hadir sama Anwar dan Azizah; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke;  Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution;

Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika pentadbiran PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 turut menyentuh beberapa isu berkaitan pasukan keselamatan dan kebajikan bekas anggota tentera.

Beliau antara lain menyentuh mengenai kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mohamad berkata, isu dana LCS termasuk RM400 juta yang dibayar kepada syarikat yang tiada kaitan dengan pembinaan kapal menunjukkan anggota pasukan keselamatan negara tidak dihormati.

“Nasib baik aku sempat jadi Menteri Pertahanan. Kita sempat buat siasatan, diketuai Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang).

“Semasa jadi Menteri Pertahanan dahulu, saya sendiri menyaksikan pengorbanan pasukan (tentera) laut di Sabah serta Filipina yang berada di sempadan. Saya lihat senapang terhunus untuk mereka jaga keselamatan siang dan malam,” katanya.

Beliau juga menjanjikan PH melalui manifesto yang akan diumumkan nanti bakal menyediakan bantuan kepada golongan petani, nelayan dan penoreh getah yang hilang pendapatan pada waktu tertentu.

Related posts

Leave a Comment