Stadium Malang diroboh dibangunkan semula

JAKARTA 19 Okt. – Stadium Kanjuruhan di Malang yang menyaksikan 130 orang terbunuh baru-baru ini akan diroboh dan dibangunkan semula mengikut piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden Joko Widodo, juga berikrar untuk melakukan perubahan menyeluruh terhadap sukan bola sepak yang digilai di negara itu.

Pada 1 Oktober lalu, polis dipersalahkan atas insiden rempuhan maut selepas perlawanan liga di bandar Malang, berikutan tindakan pasukan itu melepaskan gas pemedih mata di stadium, satu langkah kawalan orang ramai yang dilarang FIFA.

Jokowi selepas bertemu Presiden FIFA, Gianni Infantino di Istana Negara,  berkata, beliau bersetuju dengan Infantino berhubung perubahan besar terhadap cara sukan itu diuruskan di Indonesia.

“Kami bersetuju untuk secara menyeluruh mengubah bola sepak Indonesia. Setiap aspek persiapan perlu berdasarkan piawaian FIFA,” katanya.

Pertemuan antara Jokowi dan Infantino itu diadakan selepas Indonesia dan FIFA bersetuju untuk membentuk satu pasukan petugas bersama, susulan tragedi di stadium itu dan ketika negara itu bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada tahun depan.

Sementara itu, Infantino berkata, keutamaan pertama FIFA adalah memastikan keselamatan pemain dan peminat di negara Asia Tenggara itu.

“Ini adalah negara bola sepak, sebuah negara di mana bola sepak menjadi minat lebih 100 juta orang. Kita berhutang kepada mereka, yang mana apabila mereka melihat perlawanan, mereka selamat dan terjamin,” katanya. –

Pada pertemuan itu,  Infantino menghadiahkan jersei sepak bola FIFA brrnombor   1 dan bola resmi Piala Dunia Qatar 2022.

“Because now President is part of the FIFA team,” kata Gianni Infantino.

Related posts

Leave a Comment