GPS ibarat gadis cantik

KUCHING 18 Okt. – Gabungan Parti Sarawak (GPS) umpama masih dalam ‘fasa bercinta’ (berbaik-baik) dan sedang merancang untuk ‘bertunang’ (mengikat perjanjian) dengan pakatan parti politik di Semenanjung.

Pengerusinya, Abang Johari Abang Openg.berkata, semua pakatan parti politik di Semenanjung cuba memujuk GPS menyertai mereka bagi membentuk gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dengan kiasannya GPS ibarat gadis cantik, Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata ramai yang berusaha ‘menguratnya’.

“Dah nama orang kacak, semua orang ngagak, tapi kinek tuk masih bergerek, belum bertunang lagi. (Dah namanya orang cantik, semua orang cuba mendekati, tetapi sekarang masih bercinta lagi, belum bertunang).

Tapi ada juga yang sudah bertunang boleh putus” katanya yang membayangkan GPS belum menjalin hubungan kukuh dengan mana-mana pakatan parti politik di Semenanjung.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.

GPS katanya akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU-15 dan semua empat parti komponen iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sepakat dengan pembahagian kerusi yang ditetapkan sebelum ini.

“Tiada masalah dalam soal itu (pembahagian kerusi) sebab kami sepakat untuk bertanding dengan satu logo iaitu GPS.

“Calon-calon GPS juga sudah dikenal pasti termasuk akan ada beberapa muka baharu, tetapi kami akan umumkannya menjelang hari penamaan calon,” katanya.

Menurutnya lagi, PRU15 juga akan menyaksikan buat pertama kalinya empat parti tempatan Sarawak itu menggunakan manifesto sendiri kerana pada PRU14, empat parti terbabit masih bernaung di bawah Barisan Nasional (BN).

“Perkara utama di dalam manifesto itu nanti ialah tiga tuntutan di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang belum diselesaikan.

“Tiga perkara itu ialah Perkara 112D berkenaan agihan geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan, mengembalikan kuasa pentadbiran Mahkamah Tinggi Borneo dan mendapatkan pengiktirafan beberapa jabatan teknikal negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri serta Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Related posts

Leave a Comment