Semua ADUN GRS masih setia

KOTA KINABALU 18 Okt. – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih kekal setia di bawah gabungan itu kecuali ADUN Bandau,  Wetrom Bahanda yang disahkan keluar pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agung GRS, Masidi Manjun, berkata, ini berdasarkan pertemuan Ketua Menteri, Hajiji Noor dengan semua ADUN GRS mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, malam tadi.

Masidi yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, berkata hanya seorang wakil rakyat Bersatu tidak hadir pada pertemuan itu, iaitu ADUN Kemabong, Rubin Balang, tetapi menyatakan pendirian tetap bersama parti.

Sebelum ini, timbul khabar angin, mengatakan empat lagi ADUN GRS daripada Bersatu dan ADUN Bebas mesra GRS iaitu  Masiung Banah (Kuamut), Ruddy Awah (Pitas), Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) dan Rubin akan mengikut jejak Wetrom.

Sabtu lalu, Masidi mengesahkan laporan yang tular di media sosial mengatakan Wetrom keluar Bersatu dan GRS selepas dilihat menghadiri program pembangkang yang dianjurkan Parti Warisan (Warisan).

Berikutan tindakan Wetrom itu, ADUN Bersatu dalam GRS kini berbaki 16 orang termasuk dua ADUN dilantik dan seorang bekas ADUN Warisan yang keluar parti sebelum menyertai Bersaty iaitu Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik).

Secara keseluruhan, GRS yang merangkumi lima parti iaitu Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) kini mempunyai 30 ADUN.

Rakan kerjasama GRS, Barisan Nasional (BN) pula memiliki 17 kerusi; diikuti dua kerusi milik Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan masing-masing satu kerusi Pas, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) menjadikan 52 kerusi dikuasai kerajaan ketika ini.

Baki 26 kerusi lagi dikuasai pembangkang, iaitu 18 kerusi Warisan, DAP (empat), PKR (dua) dan masing-masing satu kerusi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) serta Bebas, manakala satu lagi kerusi kosong iaitu Bugaya.

Related posts

Leave a Comment