SPR terima makluman 3 DUN bubar

PUTRAJAYA 18 Okt. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima surat pemakluman berhubung pembubaran tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, iaitu bagi Pahang, Perlis dan Perak, kata Setiausaha SPR,  Ikmalrudin Ishak.

Beliau memberitahu, surat pemakluman berkenaan diterima daripada Speaker DUN negeri berkenaan, iaitu bagi Pahang dan Perlis yang bertarikh 14 Oktober 2022 serta Perak bertarikh 17 Oktober 2022.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau memberitahu, penetapan tarikh penting pilihan raya bagi ketiga-tiga negeri ini akan dibincangkan serentak dalam Mesyuarat Khas SPR yang akan diadakan pada 20 Oktober ini.

Perak adalah negeri terakhir yang memutuskan untuk membubarkan DUN, semalam selepas Pahang dan Perlis, membolehkan pilihan raya negeri serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Enam lagi negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN, tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala tiga di bawah Pas iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Kesemua enam negeri mahu menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh dan banjir.

Related posts

Leave a Comment