Lebih 10,000 polis dikuarantin

BUKAN angka luar biasa apabila lebih 10,000 pegawai dan anggota polis dikuarantin manakala sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat selepas disahkan positif jangkitan Covid-19.

Sebagai anggota barisan hadapan, sudah pasti mereka terdedah kepada risiko ini kerana semasa bertugas akan sentiasa berada paling hampir dengan orang ramai, yang belum dipastikan tahap jangkitan.

Mereka berkomunikasi secara dekat dengan rakyat walaupun memakai pelitup muka dan penjarakan sosial tidak dapat diaplikasikan dengan sempurna dalam menentukan keselamatan dan keamanan negara.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata, kadar jangkitan terhadap anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tinggi telah membantutkan keupayaan serta kekuatan pasukan itu dalam penugasan menjaga keselamatan dan keamanan negara. 

Katanya, penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.

Seperti dilaporkan Bernama, beliau berkata terdapat juga anggota yang ditugaskan membantu pihak imigresen untuk menghalang pencerobohan masuk pendatang tanpa izin.

Menerusi Op Benteng antara 1 Mei hingga 18 Oktober, pasukan keselamatan telah menahan 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong yang cuba memasuki dan keluar negara melalui Sarawak.

Beliau mengakui bahawa sumber dan kekuatan polis telah digunakan pada tahap maksimum. 

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak ini seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. 

Menurut beliau penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana semenjak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis yang telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.

Ramai juga antara mereka yang masih belum pernah berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga.

“Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment