BN sasar menang 112 kerusi Parlimen

SEREMBAN 16 Okt. –  Barisan Nasional (BN) yang akan bergerak solo pada PRU15 menyasarkan memenangi majoriti mudah 112 kerusi sekali gus membentuk Kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi, Mohamad Hasan.

Katanya, ia adalah sasaran minimum gabungan itu selepas kalah pada PRU14 dan jika angka lebih besar daripada itu adalah lebih baik.

“Setakat ini kita (BN) belum bercakap soal sasaran kerusi, tapi kita nak menang dan kita mesti mendapatkan atau melepasi 112 kerusi untuk pastikan kita dapat menubuhkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

“Itu sasaran kita. Jadi kalau boleh menang banyak lebih baik. Dulu (PRU14), kita banyak kalah tipis dan kepemimpinan di kawasan berkenaan akan beri tumpuan terhadap kerusi ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad berkata, ada banyak kerusi yang ditandingi pada PRU lalu, UMNO kalah tipis kerana isu-isu tempatan dan ini perlu diselesaikan segera supaya kesilapan seperti yang berlaku pada PRU14 tidak berulang.

Terdahulu beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royale Chulan, di sini.

Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, BN akan melaksanakan kajian sikap terhadap pengundi menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kajian sikap yang kita buat sebelum ini perlu diperkemaskan kerana sikap pengundi ini berubah-ubah mengikut keadaan dan isu-isu semasa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment