KAHERAH – Masyarakat antarabangsa digesa untuk melaksanakan tanggungjawab dalam menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta wilayah lain.
Jawatankuasa Piagam Hak Asasi Manusia Arab (AHRC) di bawah Liga Arab berkata, kawasan berkenaan mengalami pencabulan hak asasi manusia yang serius dan keadaan semakin buruk sejak kebelakangan ini akibat tindakan ganas Israel.
Dalam satu kenyataan sempena Hari Hak Asasi Manusia Arab, jawatankuasa itu menekankan bahawa tema tahun ini, ‘Hak terhadap Makanan’, mencerminkan cabaran mendesak dihadapi rantau Arab, khususnya ketika krisis kemanusiaan semakin meruncing.
Dalam konteks itu, jawatankuasa berkenaan menzahirkan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.
Katanya, kekurangan bekalan makanan dan sumber asas masih berterusan, sekali gus memerlukan usaha bersepadu antara dunia Arab dan antarabangsa bagi memastikan hak asasi manusia, termasuk hak terhadap makanan, terus terpelihara.
Jawatankuasa itu menegaskan bahawa Piagam Hak Asasi Manusia Arab menjadi asas kepada rangka kerja hak asasi manusia dalam Liga Arab.
Ia adalah satu-satunya dokumen yang mengikat secara undang-undang bagi perlindungan dan mempromosikan hak asasi manusia di dunia Arab.
Sambil memuji usaha negara-negara pihak kepada piagam itu dalam memenuhi tanggungjawab mereka, jawatankuasa berkenaan menyeru kerjasama dan penyelarasan lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan.
Ia turut menegaskan kepentingan menzahirkan hak terhadap makanan sebagai hak asasi utama yang berkait rapat dengan hak untuk hidup dan maruah