Pembukaan semula sekolah

PUTRAJAYA : Pelajar tingkatan satu hingga  empat dan kelas peralihan serta murid tahun lima dan  enam akan kembali ke sekolah mulai 15 Julai ini diikuti murid tahun satu hingga empat pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, tarikh pembukaan semula ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM). 

“Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan, hari ini, 1 Julai 2020.

Katanya pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semua institusi pendidikan swasta di bawah kategori pusat yang berdaftar dengan KPM termasuk pusat tuisyen, bahasa dan pusat perkembangan juga boleh dibuka semula pada 15 Julai.

Beliau juga memaklumkan keputusan penawaran kemasukan calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 ke tingkatan enam semester 1 tahun 2020 boleh disemak mulai hari ini melalui portal kementerian. Calon lepasan SPM terbabit juga akan mendaftar pada 15 Julai.

Mohd Radzi berkata KPM melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian atau kaedah lain yang bersesuaian sepanjang hampir empat bulan bagi memastikan lebih 5.7 juta pelajar yang tidak hadir sekolah ekoran pandemik Covid-19 dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan.

Bagaimanapun, pihaknya sedar terdapat kelemahan dalam pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian kerana kaedah Home-Based Learning adalah sesuatu yang baharu dalam kalangan guru, pelajar dan ibu bapa.

Selain itu, ramai tidak dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian kerana akses kepada teknologi komunikasi yang terhad. Ini menyebabkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan Home-Based Learning agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka.

KPM juga telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi mengadakan peperiksaan SPM 2020 yang dijadualkan bermula pada minggu pertama Januari 2021.

Beliau berkata, ini termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan 2021 bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun berkenaan berjalan lancar.

Related posts

Leave a Comment