“Selagi hidup, saya akan terus berjuang”

PUTRAJAYA 13 Okt. – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Dr Mahathir Mohamad percaya perjuangan itu adalah satu ibadah dan umur panjang pula merupakan  peluang untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

Bekas Perdana Menteri itu berusia 97 tahun itu berkata, sebagai pemimpin, beliau tidak boleh duduk mengarah dan menyuruh orang lain melakukan sesuatu tanpa diri sendiri turut melakukannya.

“Jika saya mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun Negara, saya mesti turut serta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau sedar ada yang mempersoalkan kenapa perlu bertanding lagi di dalam pilihan raya umum akan datang dan tidak kurang yang menyuruhnya duduk di masjid dan beribadah atau duduk di rumah bermain dengan anak cucu.

“Saya masih lagi hidup dengan rahmat Allah. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang. Tidak ada perjuangan yang lebih baik selain dari berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah seperti mana yang saya diwajibkan melakukan ibadah sama ada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain.

“Saya percaya perjuangan itu satu ibadah dan tidak ada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Ini termasuklah meneruskan perjuangan,” katanya.

Di akhir kenyataan, Dr Mahathir berkata : “Selagi hidup, saya akan terus berjuang. Dan perjuangan ini masih belum selesai,”

Related posts

Leave a Comment