Sultan Perak belum beri perkenan bubar

IPOH 12 Okt. –  Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah belum memberi sebarang perkenan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Menteri Besar, Saarani Mohamad.

Beliau berkata, sebarang ketetapan berkaitan pembubaran DUN akan dimaklumkan Sultan Perak kelak.

“Setelah Tuanku berkenan untuk buat keputusan, maka Tuanku akan menitahkan saya menghadap (sekali lagi),” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Saarani berkata Sultan Nazrin bertitah bahawa baginda mengambil maklum mengenai permohonan dikemukakan dan akan membuat pertimbangan yang sewajarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan meninggalkan pekarangan Istana Kinta, di sini kira-kira pukul 3.30 petang selepas menghadap Sultan Nazrin bagi memohon pembubaran DUN Perak.

Sementara itu, beliau berkata pentadbiran serta program yang direncanakan oleh kerajaan negeri berjalan seperti biasa.

Katanya tiada juga keperluan mendesak untuk diadakan sidang khas tergempar DUN bagi membahas berkaitan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan lompat parti di peringkat DUN.

“Tiada keperluan mendesak sebab ia masih boleh dibentangkan dalam sidang dewan selepas PRU15,” katanya.

Related posts

Leave a Comment