Cukup tiga PM, bukan empat  dalam sepenggal

ISU warkah 12 menteri Kabinet terus menjadi bahan pertikaian apabila Presiden UMNO menyifatkan tindakan itu merupakan niat jahat ‘musuh’ Barisan Nasional (BN) untuk mengaibkan Perdana Menteri, dari UMNO @ BN.

Menurut Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh sahaja memecat 12 menteri terbabit, namun ia hanya akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara.

Sebarang tindakan keatas 12 anggota Kabinet itu hanya akan mengundang usul undi tidak percaya atau akan berulang tindakan seumpama ‘Langkah Sheraton’ yang akhirnya memungkinkan terlantik ‘Perdana Menteri Keempat’

Begitulah episod ‘duka landskap politik ’ negara yang tidak berkesudahan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan BN khususnya UMNO kecundang buat pertama kali selepas enam dekad berkuasa.

Belum pernah terjadi dalam sejarah tanah air, satu penggal berlakunya pertukaran tiga orang Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam tempoh kurang daripada lima tahun.

Tidak mustahil, Malaysia berupaya menunjukkan kepada dunia, negara ini mampu melantik ‘Perdana Menteri keempat’ sekiranya pentadbiran yang ada pada hari ini digagahi untuk menamatkan pusingan lima tahun bagi penggal ini.

Sudah ada tanda-tanda wujudnya ketidak keharmonian dalam pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia apabila sesama sendiri tidak senada. Di sebalik sokongan, ada ancaman, ugutan dan tuntutan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Sampai bila kerajaan akan stabil jika masih ada ‘tarik tali’ sebegini sama ada melibatkan sesama parti politik dalam kerajaan atau di luar kerajaan. Ini pengajaran kepada rakyat bagaimana sebuah kerajaan yang ‘rapuh’, tiada majoriti dua pertiga.

Kembali kepada PRU, hakikatnya, waktu terbaik mengembalikan mandat rakyat adalah sebaik sahaja kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat permainan orang dalam pakatan itu sendiri.

Perikatan Nasional (PN) mengambil alih dengan gabungan Bersatu, Pas, BN serta parti di Sabah dan Sarawak. Ada desakan supaya diadakan PRU tetapi situasi ketika itu tidak mengizinkan akibat penularan Covid-19.

PN juga tidak mampu bertahan dan giliran BN pula menerajui sebuah kerajaan yang dinamakan Keluarga Malaysia. BN yang dilabel kerajaan tebuk atap, pintu belakang dan sebagainya mengambil keputusan ‘keluar ikut pintu depan’.

Dengan penggal ini berbaki lebih kurang lapan bulan,  menjelang kemelesetan ekonomi global bakal melanda pertengahan tahun depan, pilihan raya kali ini diharap tidak mengulangi sejarah kekalutan hasil keputusan PRU-14.

Tragedi ‘lompat katak’ beramai-ramai memburukkan keadaan yang kebanyakan melibatkan pemimpin politik Melayu. Di sinilah dendam mula terpahat. Yang melompat atau keluar parti dilabel pengkhianat.

Pengkhianatan seumpama inilah yang turut menyumbang kepada ketidakstabilan politik lebih-lebih lagi yang melompat parti. Mujurlah selepas PRU ini, tiada lagi kompromi terhadap mereka yang melompat. ‘Pengkhianat’ perlu fikir dua kali.

Rakyat sudah letih dengan permainan politik yang tidak menunjukkan tanda-tanda pengakhirannya. Parti politik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Ada yang tertubuh atas dasar dendam, bukannya ke arah penyatuan tetapi perpecahan.

Muafakat parti politik yang melibatkan dua parti  terbesar hanya separuh jalan, lebih buruk ketika menjelang detik penting PRU, mereka gagal mencari titik kebersamaan akibat api permusuhan dan dendam yang tidak pernah padam.

Malangnya politik Melayu yang lebih meriah dengan kehadiran pelbagai parti  dan pada masa yang sama jumlah gabungan parti pula bertambah. Di Semenanjung, kita ada BN, PH, PN dan GTA. Di Sarawak ada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jika dilihat gabungan itu, sudah sahlah pertembungan empat penjuru akan berlaku. Yang pandai berpolitik, yang pandai menjual air liur malahan yang pandai menabur fitnah pastinya mempunyai kelebihan untuk memancing undi.

Siapa pun jadi pilihan, gabungan mana yang akan diundi, amat penting para pengundi memuktamadkan pilihan mereka kali ini supaya gabungan berkenaan sama ada BN, PH, PN atau GTA mendapat majoriti dua pertiga walaupun ianya kelihatan agak sukar.

Related posts

Leave a Comment