PKR tumpu kerusi ‘pengkhianat’

PETALING JAYA 10 Okt. – PKR akan memastikan kerusi ‘pengkhianat’ kembali menjadi milik parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata di samping tumpuan untuk mempertahankan kerusi yang disandang parti itu, PKR mahu merampas kembali beberapa kerusi yang dilarikan bekas wakil rakyat parti berkenaan pasca peristiwa ‘Langkah Sheraton’ dua tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) juga menyasarkan beberapa kerusi tambahan untuk ditandingi pada PRU-15, khususnya yang dimenangi Bersatu pada PRU-14.

“Sekarang fokus kita bukan saja kerusi disandang, tapi juga beberapa kerusi lain yang menjadi sasaran. Semestinya kita beri fokus pada kerusi pengkhianat PKR dan rakyat, ini menjadi fokus khusus pimpinan.

Kalau PRU-14 PKR bertanding 51 kerusi di Semenanjung, jangkaan kita lebih daripada itu (untuk PRU-15) kerana 52 kerusi Bersatu akan diagihkan antara PKR, DAP dan Amanah di Semenanjung.

“Angka sebenar kita tunggu keputusan parti kerana masih ada beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas PKR di ibu pejabat parti itu di sini, hari ni.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan parti itu dijangka memuktamadkan mengenai calon dan kerusi yang ditandingi gabungan itu Rabu ini.

“(Calon PRU-15) belum diputuskan. Mesyuarat mengenai calon akan dipengerusikan oleh (Timbalan Presiden) Rafizi Ramli pada 12 Oktober,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Gombak, Menteri Besar Selangor itu secara berseloroh berkata, “Mungkin Gombak, Bandar Tun Razak, Ampang,” merujuk pada kerusi bekas wakil rakyat PKR yang melompat parti.

Related posts

Leave a Comment