Bubar Parlimen jalan terbaik

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini semakin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mengisytiharkan UMNO dan BN sebagai musuh utama hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui Kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, malam tadi. Semua Ahli MKT, hadir termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, UMNO menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menghormati titah tuanku, bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu,” katanya.

Ahmad berkata, mandat perlu dikembalikan kepada rakyat untuk mereka memilih sebuah kerajaan yang dapat menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.

UMNO juga menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh PRU-15 walaupun berpendapat ia mungkin boleh diadakan sebelum pertengahan bulan hadapan iaitu sebelum musim tengkujuh.

Berikutan dengan PRU-15, MKT memutuskan bahawa tarikh baru Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23-26 November 2022 akan diubah kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Mesyuarat juga bersetuju tema utama manifesto bagi PRU-15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”, yang telah digunakan sewaktu PRN Melaka dan PRN Johor sebelum ini.  Ianya akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

Related posts

Leave a Comment