PH sedia hadapi kecurangan mandat lalu

PETALING JAYA 10 Okt. – Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan keputusan Yang di-Pertuan Agong memperkenan Parlimen dibubarkan berdasarkan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata apa yang dipersoalkan adalah niat pihak yang berkepentingan yang begitu gelojoh mahu pilihan raya diadakan pada saat sekarang.

“Tampaknya Kabinet yang paling besar dalam sejarah negara ini tewas dan tunduk kepada tekanan dan kedurjanaan politik yang berkiblatkan kuasa dan wang ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar  berkata walaupun kerajaan telah memaksa negara untuk menghadapi PRU   berlatarbelakangkan musim banjir, PH bersedia untuk berhadapan gerombolan yang mencurangi mandat PRU yang lalu.

“Kami juga bersedia untuk memungkinkan sebuah masa depan yang mampan, makmur serta sebuah pemerintah yang benar-benar prihatin dan punyai sikap belas kepada nasib dan kebajikan rakyat.

“Malaysia yang baru di bawah Pakatan Harapan pastinya akan memberi lebih penekanan yang mendalam kepada aspek-aspek ini dan akan berusaha sebaik mungkin bagi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya.

Dalam kenyataannya, Anwar juga merujuk musim banjir yang telah bermula ketika sebahagian kawasan di Sabah di bandar-bandar seperti Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang telah ditenggelami air.

Katanya, kawasan sungai Muar berdekatan Kuala Pilah telah melimpah dan menjejaskan dua kampung dan kawasan sekitar, di Baling lapan sungai melepasi paras bahaya sedangkan hujan lebat dijangka berterusan.

“Manusia, parti politik dan kerajaan jenis apakah yang berani dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan nasib rakyat dengan mengadakan pilihan raya pada saat ini?

Usah kita diperdaya dengan kerajaan yang hanya pentingkan kepentingan mereka yang kononnya bagi memulangkan mandat kepada rakyat,” katanya.

Beliau mengakui keperluan pilihan raya malahan sejak pengkhianatan maha durjana yang menyebabkan kerajaan PH jatuh dahulu, rakyat telah lama menantikan saatnya untuk menghukum para pendiri kerajaan pintu belakang dan para pengkhianat.

“Tetapi sekiranya pilihan raya yang diadakan akan memberi risiko kepada rakyat Malaysia tatkala mengundi akan menjadi cabaran bagi sesetengah rakyat, maka ia dilihat seperti menipu dan cuba menghalang pengundi dari melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Anwar turut menyenaraikan apa yang didakwanya sebagai kegagalan kerajaan yang mengambil alih kerajaan PH termasuk gagal  mengemudi negara saat serangan wabak Covid-19 dan mengelak dari melakukan tanggungjawabnya di Parlimen.

Kerajaan ini juga menyebabkan pilihan raya berlaku di Sabah yang menyebabkan wabak Covid-19 terus mengganas di seluruh Malaysia,  mengumumkan darurat bagi menggantung fungsi dan peranan Parlimen,. bohong kepada rakyat dan negara terkait aplikasi MySejahtera dan skandal Digital Nasional Berhad.

“Tiba masanya untuk kita merampas semula negara ini dari kerakusan perompak dan penindas, serta dari gerombolan yang sibuk memperkayakan keluarga dan kroni mereka, manakala rakyat di bawah terus menderita menanggung kos sara hidup,” katanya.

Kepada anak-anak muda yang akan mengundi kelak, Anwar menekankan bahawa pilihan raya yang akan datang akan memberi kesan yang besar kepada masa depan rakyat dan negara.

Anwar yang telah menjelajah ke seluruh negara dalam beberapa minggu yang lalu dan bertemu ramai orang terharu ketika mereka menyuarakan kesungguhan bagi menghukum para konspirator dan dalang Langkah Sheraton.

Justeru beliau mengajak rakyat untuk turun mengundi bagi melakukan perubahan dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan harga barang, pekerjaan,  pendidikan yang berkualiti, dan akses kesihatan.

“Kita tidak ada pilihan tetapi mesti terus konsisten dengan semangat yang jelas, keberanian serta komitmen dalam mempaculkan sebuah Malaysia yang berketerampilan dan kuat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment