Tanduk badak S$1.2 juta dirampas

SINGAPURA 6 Okt. – Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) merampas 20 tanduk badak sumbu yang diseludup melalui Lapangan Terbang Changi, semalam yang dianggarkan bernilai sekitar S$1.2 juta.

Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee melalui hantaran Facebooknya memberitahu, tanduk badak seberat 34 kilogram itu dalam perjalanan ke Laos dari Afrika Selatan.

Katanya, rampasan itu yang terbesar di Singapura setakat ini dan pemiliknya ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, NParks dalam kenyataan semalam memberitahu, bahagian

keselamatan lapangan terbang dan unit K9 mengesan 34 kilogram tanduk badak di dalam dua buah bagasi.

NParks memaklumkan bahawa ujian genetik sedang dijalankan di pusat forensik hidupan liar untuk mengenal pasti spesies badak sumbu.

“Tanduk-tanduk itu akan dimusnahkan bagi menghalangnya daripada memasuki semula pasaran dan bertujuan menjejaskan rantaian bekalan tanduk badak yang didagangkan secara haram,” menurut kenyataan itu.

Menurut NParks, badak sumbu dilindungi di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa dalam Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES) serta transaksi perdagangan antarabangsa membabitkan tanduknya adalah dilarang.

Singapura antara negara yang menandatangani CITES dan komited dengan usaha antarabangsa untuk mengekang perdagangan hidupan liar haram demi memastikan kelangsungan hidup haiwan ini.

Di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), pemilikan spesies dalam transit di Singapura tanpa permit yang sah boleh dikenakan denda sehingga S$ 50,000 setiap spesies (tidak melebihi agregat S$500,000) dan atau hukuman penjara sehingga dua tahun.

Penalti yang sama dikenakan untuk mereka yang memiliki atau memindahkan spesies yang dijadualkan, termasuk bahagian dan derivatif haiwan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment