Kadar positif di Filipina tahap ‘amat tinggi’

MANILA: Kadar positif Covid-19 di ibu negara Filipina berada pada tahap ‘amat tinggi’ dengan kadar 19.1 peratus, iaitu jauh lebih tinggi berbanding tahap ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak lima peratus.

Menurut Prof Guido David dari Universiti Filipina berkata, pihaknya mengesan peningkatan berterusan pada kadar positif, yang bermakna jangkitan masih meningkat di Metro Manila dan wilayah sekitarnya.

Beliau memberitahu, beberapa faktor mungkin menyumbang pada peningkatan kadar positif itu, antaranya pelaksanaan semula kelas secara bersemuka, peraturan pemakaian pelitup muka secara pilihan, imuniti berkurangan serta pergerakan orang ramai yang tinggi.

Berikutan faktor berkenaan, beliau turut menjangkakan kadar positif itu akan terus mencatat peningkatan.

Setakat Isnin lalu, Filipina merekodkan 1,967 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif virus itu di Filipina meningkat kepada 3,955,758 kes.

Jabatan Kesihatan (DoH) Filipina memaklumkan, jumlah kes aktif menurun kepada 28,111, manakala 29 lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 63,042 mangsa.

Metro Manila yang memiliki lebih 13 juta penduduk mencatat 869 kes baharu.

Filipina mencatat kes harian Covid-19 tertinggi pada 15 Januari lalu dengan 39,004 kes baharu dan daripada 110 juta penduduk negara itu, seramai 73.1 juta sudah lengkap divaksin.

Related posts

Leave a Comment