DUN tiga negeri PH bubar 2023

KUALA LUMPUR 5 Okt.- Tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Ini bermakna, Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri itu akan dibubarkan pada tahun 2023, sama ada secara serentak atau sebaliknya.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden hari ini dan fokus pentadbiran ketiga-tiga negeri itu kini adalah untuk menangani isu banjir yang akan memberi kesan kepada rakyat.

“Keputusan ketiga-tiga negeri ini adalah menumpukan perhatian menangani masalah banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir

Oleh yang demikian, mereka tidak akan mengadakan pilihan raya sehingga selesai isu banjir yang dianggarkan sehingga Februari atau Mac dan mereka ada ruang untuk menetapkan (bubar DUN) selepas itu,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Dokumen Strategi Belanjawan PH di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah ), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Wilfred Madius Tangau.

Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan, ketiga-tiga negeri berkenaan tidak akan bersama dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya pilihan raya diadakan ketika banjir.

Katanya, ia kerana mereka beranggapan tidak seharusnya rakyat yang terpaksa mengharungi masalah banjir ditambah beban dan penderitaan.

“Seperti mana yang kita tahu semua pimpinan parti besar, semuanya katakan tumpu kepada banjir, yang nak tumpu mahkamah dan PRU-15 ini, hanya sekelompok kecil.

“Jadi saya percaya dan berharap Yang di-Pertuan Agong mengambil kira bahawa majoriti besar Ahli Parlimen menganggap tindakan menangani masalah banjir, menyelamatkan rakyat harus diutamakan,” katanya.

Majlis Presiden PH juga bersetuju menggunakan logo baharu, tetapi memandangkan pilihan raya umum semakin hampir, logo lama akan dikekalkan pada PRU15.

“Jadi soal logo itu tidak perlu dibincangkan lagi kerana kepentingan kita ketika ini adalah menghadapi pilihan raya kerana dalam tempoh satu atau dua bulan ini, keperluan kita menyediakan logistik dan sebagainya agak sukar. PH yakin akan menang,” katanya.

Ditanya wujud keperluan mengadakan kerjasama dengan parti lawan sekiranya tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti selepas PRU15, Anwar berkata, perkara itu tidak relevan.

“(Kerjasama politik) tidak relevan kerana kita yakin akan menang,” katanya.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini pula berkata pihaknya mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.

Majlis itu turut mengambil maklum bahawa kerajaan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutamakan nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.

Related posts

Leave a Comment