UMNO hormati kuasa PM

KUALA LUMPUR 4 Okt. –  UMNO menghormati kuasa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bagi mencadangkan mengenai pembubaran Parlimen, kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya sama ada Perdana Menteri, Ismail Sabri  diberikan tempoh untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung tarikh pembubaran Parlimen, beliau secara berseloroh berkata “Saya bagi tahu saya nak semalam”

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak selepas mendapat mandat dari Jemaah Menteri bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi penentuan tarikh pembubaran Parlimen.

Ahmad Zahid juga yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum musim banjir berdasarkan hasil laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Katanya, apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) membuat keputusan pada 30 September lalu supaya PRU15 diadakan pada tahun ini, UMNO telah  meneliti laporan daripada Ketua Pengarah METMalaysia.

Hasil penelitian itu mendapati pilihan raya akan berlangsung sebelum banjir.

Ahmad Zahid sebelum itu mengadakan pertemuan khas Presiden UMNO dan Perdana Menteri bersama empat sayap kepemimpinan UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, mulai Isnin depan, Pengerusi Perhubungan Negeri akan mengemukakan nama calon kepada Top 5 bagi menentukan calon UMNO.

Beliau memaklumkan tiga kriteria calon ditetapkan iaitu boleh menang, boleh diterima dan disenangi pengundi.

“Siapa yang memenuhi kriteria ini akan menjadi calon UMNO. Senarai boleh diberikan mulai Isnin depan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment