Pelitup muka dalam pesawat mansuh

PUTRAJAYA 28 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang, berkuat kuasa serta-merta, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin hari ini.

Bagaimanapun, katanya dalam satu kenyataan hari ini, individu berisiko tinggi dan bergejala digalakkan memakai pelitup muka ketika menaiki kapal terbang.

Bekiau berkata, kementerian amat menggalakkan individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema serta berisiko tinggi seperti warga tua, orang berpenyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu hamil memakai pelitup muka dalam kapal terbang.

Begitu juga mereka yang mengembara bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak untuk memakai pelitup muka dalam kapal terbang.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat ini adalah menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang seperti pengudaraan yang baik dalam kabin dan penggunaan penapis melalui tapisan udara partikel keberkesanan tinggi (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara.

Khairy sebelum itu mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail yang antara lain berkaitan tentang tahap kualiti serta kebersihan udara dalam pesawat.

Menurut Khairy KKM turut mengambil kira susunan tempat duduk ke hadapan, kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang serta beban kes Covid-19 -19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

Dalam pada itu Khairy berkata, kelonggaran yang diumumkan itu juga selaras dengan syor kesihatan daripada negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand dan Singapura.

“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat ditetapkan oleh negara yang dikunjungi,” katanya.

Sebelum ini, Khairy pada 7 September lalu mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan memutuskan bahawa pemakaian pelitup muka di dalam bangunan adalah atas pilihan.

Related posts

Leave a Comment