Di New York PM dapat ilham hijau kawasan

NEW YORK: Belum ada ilham. Begitu reaksi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob apabila ditanya sama ada beliau sudah mendapat ilham bila akan membubarkan Parlimen ketika berada di bandar raya ini.

Sebaliknya Perdana Menteri berkata beliau mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau di Malaysia ketika berjalan di sekitar Central Park dan kagum dengan kawasan hijau seluas 832 ekar di tengah-tengah bandar raya ini.

“Saya mendapat inspirasi bagaimana untuk memulihara kawasan hijau kita. Namun untuk pilihan raya, saya tidak mendapat apa-apa inspirasi,” katanya sambil tersenyum.

Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen bergantung kepada perbincangan dalam kalangan pemimpin tertinggi UMNO pada 30 September ini.

“Pada 30 hari bulan, petang ada (mesyuarat) Top 5 dan biro politik, malam ada MT (Mesyuarat Tertinggi). Jadi kita tunggulah,” katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari ke Amerika Syarikat.

Top 5 merujuk kepada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden UMNO.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, berkata beliau belum mendapat maklumat mengenai agenda mesyuarat MT UMNO.

“Saya pun tak tahu apa agenda MT dan sebagainya. Jadi malam tu lah kita akan bincang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment