TBC: 1.6 juta kenderaan di lebuh raya

PETALING JAYA 26 Jan. – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik meningkat kepada 1.6 juta kenderaan, berbanding 1.4 juta ketika ini bermula 28 Januari hingga 6 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata sehubungan itu PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan orang ramai merancang perjalanan mereka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, TTA itu dilaksanakan bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sempena perayaan terbabit.

Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum pukul 10 pagi.

Bagi yang mahu ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan mula memasuki lebuh raya selepas pukul 1 tengah hari.

PLUS menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi berkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak.

Zakaria turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

Related posts

Leave a Comment