Tular Zahid calon PM adalah palsu

KUALA LUMPUR 25 Sept. – UMNO tidak pernah mengeluarkan kenyataan menamakan Presidennya,  Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15, kata Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan.

“Mudah untuk mengetahui benar atau tidak jika ada kenyataan daripada saya, periksa semua saluran media sosial saya iaitu Twitter, Facebook, Instagram, Tiktok.

Jika tiada, maka ia palsu, fake,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Beliau berkata, dalam dunia ini memang ada sekumpulan manusia jahat dan bodoh yang kerjanya hanya membuat fitnah.

Ahmad turut memuat naik kenyataan tular itu yang mendakwa susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan rasuah, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memutuskan beliau sesuai diangkat sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan Barisan Nasional (BN).

Kenyataan itu mendakwa, perkara berkenaan akan dibincangkan mesyuarat MKT pada 30 September ini.

Turut dinyatakan desakan Parlimen dibubarkan segera supaya mandat dikembalikan kepada rakyat dan mengangkat kembali BN sebagai kerajaan manakala Ahmad Zahid menjadi Perdana Menteri ke-10.

Minggu lalu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengesahkan Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri BN pada PRU-15.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, Ismail Sabri akan dipilih sebagai Perdana Menteri jika parti itu memenangi PRU-15.

Related posts

Leave a Comment