Hati-hati agenda pecah belah MN

KUALA TERENGGANU 25 Sept. – Ahli Pas dan UMNO perlu berhati-hati dengan agenda memecah-belahkan Muafakat Nasional (MN) susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin bahawa BN menjadi musuh utama PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kenyataan bahawa BN adalah musuh PN ternyata meletakkan Pas dalam dilema memandangkan terdapat usaha untuk mewujudkan kerjasama BN (UMNO) dan Pas.

“Pas baru sahaja berusaha membina kembali jambatan yang sudah mula terbakar berikutan kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas bahawa BN bukan musuh Pas dalam PRU15

Ia adalah talian hayat kerjasama politik. Namun, ia tidak disenangi oleh setengah pihak yang akan terjejas dengan kerjasama MN ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, malam tadi.

Menurut Khairuddin, MN telah melakar sejarah kesatuan dalam kalangan umat Islam menerusi penyatuan dua parti politik terbesar Melayu Islam dan kehadiran MN menakutkan Pakatan Harapan (PH) untuk berhadapan pada PRU15.

“Mereka sudah membayangkan sekurang-kurangnya 28 kerusi Parlimen akan terlepas ke tangan sama ada UMNO atau Pas menerusi MN. Maka tidak pelik perancangan dibuat untuk membakar jambatan MN.

“Jambatan MN yang mula terbakar menjadikan PH bernafas kembali. Agenda untuk memecahkan MN sentiasa berjalan.

“Percikan api pertembungan antara Pas dan UMNO sangat mudah merebak. Hanya dengan sedikit minyak, api menjadi marak kerana mereka telah bertembung selama 45 tahun sejak 1978.

“Ahli Pas dan UMNO perlu berhati-hati dengan agenda perpecahan ini,” katanya.

Muhyiddin ketika berucap ketika Sambutan Ulang Tahun ke-6 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya pada Sabtu menegaskan bahawa ketetapan yang telah disepakati gabungan itu ialah BN merupakan musuh utama pada PRU15.

Pengerusi PN itu turut mengingatkan komponen parti berkenaan supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Bagaimanapun, pendirian itu dilihat berbeza dengan Pas kerana pada 20 September lalu, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, Pas kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun sekali gus tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15.

Sebaliknya, beliau berkata, Pas tetap menegaskan bahawa musuh sebenar agenda penyatuan ummah adalah PH dan sekutunya termasuk ‘khemah besar’.

Related posts

Leave a Comment