MN : Muhyiddin mahu penjelasan Hadi

PUTRAJAYA 24 Sept. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin ingin tahu apa sebenarnya berlaku berhubung dakwaan pertemuan Presiden Pas dan UMNO yang dikatakan bagi menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).

Justeru, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu itu akan bertemu Abdul Hadi Awang minggu depan bagi menuntut penjelasan Presiden Pas itu yang didakwa berjumpa Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Muhyiddin, perjumpaan dengan Ahli Parlimen Marang merangkap Timbalan Pengerusi PN itu akan diadakan pada Isnin atau Selasa ini.

“Saya ada baca kenyataan itu dan saya juga berminat nak tahu apa sebenarnya berlaku. Saya pun nak tahu adakah perbincangan sedemikian? Apa hasil perbincangan itu? Adakah UMNO bersetuju dengan perkara itu dan apakah pendirian PN susulan perbincangan terbabit?

Jadi buat masa ini, kita akan tunggu peluang untuk bertemu dengan Abdul Hadi. Saya akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu apabila berjumpa beliau pada Isnin atau Selasa ini. Kami akan berbincang juga perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-6 Bersatu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu,  Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau.

Kelmarin, portal berita melaporkan pertemuan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi menguatkan cakap-cakap MN dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Difahamkan, pertemuan itu berlangsung Selasa lalu dan keputusan perbincangan bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada 30 September ini.

Ketua Penerangan PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin yang enggan mengulas pertemuan itu, dipetik berkata, MN mempunyai peluang cerah untuk dihidupkan semula dan mengakui memang ada pertemuan di peringkat tertinggi Pas dan UMNO, namun tidak mendedahkan siapa pemimpin terbabit.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian menjalin hubungan dengan UMNO, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan ketetapan atau pendirian menggambarkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh pada PRU-15.

Related posts

Leave a Comment