Hapuskan kuasa veto Majlis Keselamatan

NEW YORK: Malaysia mencadangkan kuasa veto anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata ini kerana kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa besar dunia.

“Ia tidak demokratik dan melanggar asas prinsip demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap majlis itu.

Konflik dan krisis yang berlaku di dunia, termasuk di Ukraine, Palestin serta Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

Selaras prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Majlis Keselamatan PBB dianggotai lima negara kuasa besar, iaitu China, Amerika Syarikat, Perancis, Rusia serta United Kingdom sebagai anggota tetap yang mempunyai kuasa veto, dan 10 negara bukan anggota tetap.

Negara bukan anggota tetap ialah Albania, Brazil, Gabon, Ghana, India, Ireland, Kenya, Mexico, Norway dan Emiriyah Arab Bersatu.

Lima negara kuasa veto itu boleh menolak resolusi yang diputuskan oleh PBB.

Related posts

Leave a Comment