‘Keluarga Dunia’ hadapi cabaran global

NEW YORK: Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob menggariskan sembilan perkara pokok untuk diberi perhatian oleh pemimpin dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77.

Ia merangkumi sistem monetari dan kewangan antarabangsa, konflik global, keadaan di Ukraine, kependudukan Palestin oleh Israel, hidup bersama dalam budaya damai, keadaan di Myanmar, reformasi PBB dan pembangunan mapan.

Justeru Ismail Sabri  menyeru negara anggota untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam mengatasi cabaran yang dihadapi dengan melakukannya bersama-sama seperti sebuah keluarga besar – Keluarga Dunia.

Menurut Perdana Menteri, kemelut yang dihadapi dunia sekarang boleh ditangani jika semua negara anggota PBB melaksanakan peranan masing-masing sebagai sebuah keluarga besar.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya. Malaysia akan terus memberi komitmen sepenuhnya,” katanya.

Berhubung isu Palestin, beliau menzahirkan kekecewaan Malaysia dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sejak sekian lama dengan rakyat negara itu terus hidup dalam belenggu dasar diskriminasi rejim negara itu.

“Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan. Kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu rakyat Palestin.

“Pendirian tegas itu perlu diambil oleh PBB (kerana) kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine.

“Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid,” katanya.

Menyentuh mengenai Ukraine, Ismail Sabri berkata, harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia.

Katanya, konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

“Malaysia mengulangi ketegasan agar semua negara mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan yang mendorong dunia ke kancah perang dingin. Dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan,” katanya.

Perdana Menteri juga menjelaskan keamanan dan kestabilan penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, krisis perubahan iklim, kemiskinan global dan kesan pandemik berterusan.

Katanya, konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif sehingga seluruh dunia kini berdepan pelbagai masalah seperti kekurangan zat dan sumber makanan.

Mendepani isu ini, Malaysia menyeru semua negara untuk memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.

“Berdasarkan prinsip itu, Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment