WASHINGTON – Selaras dengan keutamaan dasar “America First”, pentadbiran Presiden Donald Trump mengemukakan rancangan rombakan besar-besaran ke atas Jabatan Negara Amerika Syarikat (State Department) termasuk menutup beberapa pejabat yang menangani jenayah perang dan advokasi hak asasi manusia.
Menurut perancangan, sebanyak 132 daripada 734 biro dan pejabat akan ditutup di mana rancangan itu menetapkan bahawa setiap ‘undersecretary’ Jabatan Negara perlu mengemukakan pelan untuk mengurangkan staf sebanyak 15 peratus.
Laporan dalam talian The Free Press, yang turut dikongsi oleh Setiausaha Negara Marco Rubio di platform X, pula menyatakan bahawa kira‑kira 700 jawatan tambahan akan dihapuskan melalui penutupan pejabat‑pejabat terlibat.
Timbalan Setiausaha Negara Christopher Landau menulis kepada kakitangan melalui e‑mel dalaman bahawa kumpulan kerja dalaman akan mengetuai pelaksanaan penyusunan semula ini dan merangka pelan terperinci bagi setiap bahagian menjelang 1 Julai.”
Senator Marco Rubio, yang dilantik untuk mengetuai usaha ini, menegaskan, Jabatan ini terlalu besar, bersifat birokratik, dan tidak cekap dalam melaksanakan misi diplomatik utamanya dalam era persaingan kuasa besar ini.
Beliau menambah bahawa struktur Jabatan Negara kini menghalang keputusan dibuat dengan cepat dan cekap, dan rombakan ini akan memperkasakan biro serantau serta menyingkirkan pejabat yang tidak lagi selari dengan kepentingan nasional Amerika Syarikat (AS).
Trump juga mengeluarkan satu perintah eksekutif pada Februari lalu yang mengarahkan Rubio merombak Perkhidmatan Luar Negeri AS (US Foreign Service) dan cara fungsi Jabatan Negara agar lebih setia melaksanakan agenda “America First”.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce memberitahu pemberita penutupan biro yang memfokuskan isu tertentu tidak bermakna kerja pada isu itu akan dihentikan sepenuhnya.
Walaupun jawatan dan pejabat tertentu dihapuskan, isu kritikal seperti pemantauan jenayah perang melalui Office of Global Criminal Justice dan pencegahan maklumat palsu mungkin akan dipindahkan atau diintegrasi ke bahagian lain, walaupun ia tiada dalam carta organisasi baharu.
Menurut Pegawai Kanan Jabatan Negara, setiap undersecretary mempunyai 30 hari untuk menilai bilangan pekerjaan yang akan terjejas.