8.7 juta terima BKM fasa 3, rayuan mulai Selasa

PUTRAJAYA 16 Sept. – Sebanyak 8.7 juta penerima akan mula menerima bayaran fasa tiga dan fasa rayuan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mulai Selasa depan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, bayaran yang akan dikreditkan ke dalam akaun penerima secara berperingkat itu melibatkan pembayaran bernilai RM2.2 bilion.

“Bagi BKM fasa tiga, setiap penerima sedia ada bakal menerima sehingga RM900. Selain itu, rayuan lebih 80,000 penerima sudah diluluskan dan akan menerima sehingga RM2,350, mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Ia termasuk Bantuan Tunai Tambahan diumumkan kerajaan pada Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pembayaran membabitkan penerima BKM sedia ada kategori isi rumah, warga emas, bujang/tiada pasangan dan bujang serta mereka yang lulus rayuan BKM.

“Keseluruhan proses berkenaan dijangka selesai pada 27 September ini,” katanya.

Sehingga September ini, sebanyak RM5.9 bilion sudahpun disalurkan kepada penerima BKM melalui fasa pembayaran ditetapkan.

Ismail Sabri berkata, masih terdapat bayaran BKM fasa empat, bernilai RM2.1 bilion yang akan disalurkan kepada mereka yang layak pada Disember depan.

Semakan status pembayaran boleh dibuat menerusi pautan https://bkm.hasil.gov.my, mulai Selasa depan.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan seluruh Keluarga Malaysia, terutama ketika negara berdepan cabaran kenaikan inflasi dan krisis geopolitik yang memberi kesan menyeluruh terhadap rantaian global.

“Kerajaan komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar dengan aspek jaringan keselamatan sosial akan terus diberi tumpuan dalam Bajet 2023,” kata Perdana Menteri.

BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung diumumkan dalam Bajet 2022 bagi memanfaatkan golongan B40 terkesan dengan kos sara hidup yang menerima sehingga RM2,500, tahun ini.

Kerajaan kemudian mengambil keputusan menyediakan bantuan tunai tambahan RM100 lagi untuk kumpulan isi rumah B40, manakala tambahan RM50 bagi golongan bujang.

Related posts

Leave a Comment