Perak, Pulau Pinang kibar bendera separuh tiang

IPOH 16 Sept. – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan supaya bendera negeri dikibar separuh tiang sebagai menghormati kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 9 September lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam satu kenyataan memaklumkan, bendera Perak akan dikibarkan separuh tiang tiga hari bermula esok sehingga selesai istiadat permakaman Ratu Elizabeth II pada hari Isnin.

“Sultan Perak telah berkenan agar negeri ini mengibarkan bendera separuh tiang bermula esok hingga Isnin depan, bagi menzahirkan rasa dukacita baginda di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Pulau Pinang juga akan mengibarkan bendera separuh tiang di seluruh negeri itu pada Isnin.

Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang, Mohd Zakuan Zakaria, perkara itu dipersetujui Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

“Bendera Negeri Pulau Pinang dikibarkan separuh tiang pada Isnin 19 Sept sebagai menghormati kemangkatan dan hari pemakaman Baginda Ratu Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Related posts

Leave a Comment