Seri Paduka hadir pemakaman di UK

SEPANG 16 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berangkat ke United Kingdom (UK) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September lalu.

Lawatan khas Al-Sultan Abdullah itu adalah bagi memenuhi jemputan rasmi kerajaan UK selama enam hari bermula hari ini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada pukul 10.30 pagi.

Timbalan Menteri Luar,  Kamarudin Jaffar hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Sebelum berangkat, Pegawai Agama Istana Negara, Munir Md Salleh membacakan doa selamat bagi memohon perlindungan serta keselamatan keberangkatan Seri Paduka berdua.

Dalam rangka lawatan khas itu, Seri Paduka berdua akan menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Britain Raja Charles III pada Ahad, 18 September dan istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II pada Isnin 19 September di Westminster Abbey.

Al-Sultan Abdullah turut dijadual mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua negara asing ketika berada di UK.

Related posts

Leave a Comment