Warga Brunei teranah di rumah

NEGARA Brunei Darussalam (NBD) yang sepi dari Covid-19, tidak seperti jiran-jirannya bagaikan ‘dikejutkan dari tidur’ Apa tidaknya 6 Mei 2020 hari terakhir kes tempatan dilaporkan, 6 Ogos 2021 hari terakhir Covid-19 tempatan ‘bersembunyi’.

Esoknya, 7 Ogos, NBD merekodkan tujuh kes tempatan dan angka harian itu terus meningkat sehingga semalam 19 Ogos dengan 190 kes harian. Kini jumlah kumulatif sudah mencapai 1,136.

Khabar 7 Ogos itu memang mengejutkan warga NBD yang lebih setahun ‘hidup bebas’ ketika penduduk negara jiran di rantau ASEAN diselubungi kes yang saban hari meningkat sama ada sekadar 20 kes hingga lebih 20,000 kes.

Menteri Kesihatan,  Md Isham Md Jaafar yang sering muncul di televisyen bagi mengumumkan situasi terkini jangkitan sebelum ini sekadar mengeluarkan kenyataan media melaui Kementerian Kesihatan berbanding peringkat awal pandemik.

Kini sudah dua minggu Md Isham muncul bersama menteri lain yang berkaitan (seperti Kewangan, Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri) dalam sidang media, sama  seperti kemunculan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr. Noor Hisham Abdullah.

Diselak kembali kenyataan media Kementerian Kesihatan pada 6 Ogos, ia menyebut tiada kes baharu. Apa yang dilaporkan satu kes sembuh., 44 kes aktif, tiga kematian, 292 sembuh. Jumlah keseluruhan kes pula 339 termasuk 198 kes import.

Menurut kenyataan itu lagi,  kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan adalah pada 6 Mei 2020 atau 457 hari yang lalu (sehingga 6 Ogos). Maknanya setahun tiga bulan, NBD terhindar dari Covid-19 tempatan.

Sebelum ini kes import terakhir pada 3 Ogos, yang jumlah keseluruhannya 198 kes daripada 339 yang direkodkan. Maknanya hanya ada 141 kes tempatan sejak pandemik melanda dunia.

Bagaimanapun situasi itu berubah mulai 7 Ogos lalu apabila tujuh kes tempatan dan satu import dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 347 kes. Dan hari-hari berikutnya ada sahaja kes tempatan.

Untuk rekod, lima daripada lapan kes terbaharu ini, didapati mempunyai kaitan dengan salah sebuah pusat pemantauan di NBD.

Kelima-lima kes ini tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan keluar negara dalam masa beberapa bulan kebelakangan dan dipercayai berkemungkinan terdedah kepada salah seorang kes import yang tiba di negara itu.

Begitulah mudahnya Covid-19 menjangkiti sekalipun ketika orang ramai mengambil sikap berhati-hati .

Rekod kes 8 Ogos iaitu hari kedua adalah 17 kes direkodkan diikuti 9 Ogos (42 termasuk 4 import), 10 Ogos (34), 11 Ogos (54), 12 Ogos (49), 13 Ogos (55), 14 Ogos (42), 15 Ogos (83), 16 Ogos (64), 17 Ogos (65), 18 Ogos (94) dan semalam 190 kes termasuk 150 kes tertunggak.

Kini NBD diletakkan dalam keadaan pelbagai sekatan seperti dialami negara lain sama ada dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan, keagamaan, sukan, kesihatan dan sebagainya.

Pelbagai langkah diambil untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk keperluan petugas barisan hadapan serta kemudahan kesihatan di samping pelbagai bantuan membantu ekonomi masyarakat.

Jika Malaysia dengan #kitajagakita, duduk di rumah, lindung diri lindung semua, NBD pula dengan “ubaya-ubaya kitani” #bersama melindungi, teranah di rumah.

Semua stesen radio dan tv  serta rakyat diminta membaca Yasin setiap hari mulai pukul 7 malam dengan niat memohon NBD dilindungi dari wabak ini.

Related posts

Leave a Comment