KOTA KINABALU 15 Ogos – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kata Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali.
Katanya, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November tahun lalu, KDM melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tunggalnya memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Keputusan itu menjadikan KDM sebahagian kerajaan Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata susulan pengumuman Presiden KDM, beliau menghubungi ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman yang juga satu-satunya ADUN daripada KDM.
Rusdin memaklumkan komitmennya adalah berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain memastikan kestabilan kerajaan negeri bagi meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.
Beliau juga turut bersama dalam satu acara membabitkan ADUN-ADUN kerajaan pagi tadi di Kota Kinabalu,” katanya.
Terdahulu Presiden KDM, Priscella Peter mengumumkan pihaknya memutuskan bergerak di luar kerajaan GRS sebagai persiapan menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Keputusan dibuat sebulat suara mengambil kira kepentingan parti dan usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat di peringkat akar umbi.
“Sebagai persiapan menghadapi PRN dan PRU, parti KDM bersama-sama dengan Majlis Tertinggi parti telah memutuskan untuk bergerak tanpa berada dalam Kerajaan GRS.
“Keputusan ini sungguh berat, tetapi apa yang penting kami mahu tunjukkan kepada rakyat dan ahli di akar umbi bahawa kita mempunyai hala tuju jelas untuk mereka,” katanya.
Nnn
