Dibedil ketika menunggu bantuan

KAHERAH: Sekurang-kurangnya 104 rakyat Palestin terbunuh manakala 280 yang lain cedera setelah Israel membedil ke atas orang ramai yang menunggu bantuan berhampiran Bandar Gaza, demikian dakwaan Pihak Berkuasa Kesihatan di Gaza

Dalam pada itu, sebuah hospital menyatakan pihaknya menerima 10 mayat dan berpuluh-puluh pesakit yang cedera.

Jurucakap tentera Israel bagaimanapun berkata, pihaknya tidak tahu mengenai bedilan itu dan tentera kemudiannya mendakwa berpuluh-puluh orang cedera akibat ditolak dan dipijak apabila trak bantuan tiba di utara Gaza.

Pejabat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengutuk pembunuhan jelik beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel pagi tadi terhadap orang ramai yang menunggu trak bantuan di bulatan Nabulsi.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra, berkata kejadian itu berlaku di bulatan Al-Nabusi di barat Bandar Gaza di bahagian utara kawasan berkenaan.

Menurut Qidra, pasukan perubatan tidak dapat menampung jumlah dan kecederaan teruk daripada berpuluh-puluh orang yang cedera yang tiba di Hospital Al-Shifa.

Dalam pada itu, Hamas dalam satu kenyataan memberi amaran, insiden itu boleh membawa kepada kegagalan rundingan yang bertujuan mencapai kesepakatan gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

“Rundingan yang dijalankan oleh kepimpinan gerakan itu bukan proses terbuka dengan mengorbankan darah rakyat kita,” katanya dan mengatakan Israel akan bertanggungjawab atas sebarang kegagalan rundingan itu.

Related posts

Leave a Comment