Seri Paduka ucap takziah

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MIC dan Menteri Kerja Raya, Tun S Samy Vellu yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian itu dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan sedih ini.

“Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa dan pengorbanan mendiang kepada masyarakat serta negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara,” katanya.

Ketika hayatnya, Samy Vellu pernah dilantik Menteri Kerja Raya dari 1979 hingga 1989 dan bagi tempoh 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.

Related posts

Leave a Comment