Fasa pertama SUKE dibuka

KUALA LUMPUR 15 Sept. – Fasa pertama Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi jajaran sejauh 16.6 kilometer (km) akan dibuka kepada pengguna mulai 12 tengah hari esok,16 September tanpa tol selama sebulan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, fasa pertama lebuh raya terbabit bermula dari persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke persimpangan Bukit Antarabangsa.

“Saya juga ingin mengumumkan bahawa tol secara percuma selama sebulan, bermula jam 12 tengah hari 16 September.

Pengguna yang bakal menggunakan laluan lebuh raya alternatif ini diharap mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memandu secara berhemah,” katanya.

Fadillah juga mengingatkan syarikat konsesi mengambil langkah-langkah proaktif bagi memastikan tahap perkhidmatan dan operasi yang terbaik diberikan kepada pengguna sambil mematuhi perjanjian konsesi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan fasa pertama pembukaan Lebuhraya SUKE di Plaza Tol Bukit Teratai, di sini, hari ini.

Katanya, pembinaan dan pembukaan rangkaian lebuh raya di negara ini adalah keperluan untuk menggerakkan pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.

“Kementerian menyokong usaha Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd merealisasikan hasrat kerajaan ini.

“Dedikasi dan komitmen yang berterusan daripada pihak syarikat dalam membantu pembangunan infrastruktur negara membuktikan keberkesanan projek Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) di antara pihak PROLINTAS dengan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan komited dalam menangani isu kepadatan trafik di ibu negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat yang bekerja dan tinggal di sekitar Lembah Klang, menerusi manfaat perjalanan lebih singkat dan pengurangan kadar pelepasan karbon.

Related posts

Leave a Comment