Omicron : Satu pesawat jadi kontak rapat

DUA  pelawat yang terbang dari Singapura ke Sydney semalam (28 November) disahkan dijangkiti Covid-19 varian Omicron menjadikan empat kes varian baharu itu disahkan di New South Wales.

Menurut Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW Health), kedua-dua .penumpang tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan menaiki penerbangan Singapore Airlines SQ211.

NSW Health dalam satu kenyataan media berkata, mereka sudah lengkap divaksin dan sedang diasingkan di penginapan kesihatan khas.

“Semua orang dalam penerbangan itu dianggap sebagai kontak rapat dan perlu menjalani ujian segera Covid-19 dan mengasingkan diri selama 14 hari, tanpa mengira status vaksinasi mereka,” kata NSW.

Menurut NSW, semua penumpang dan kru penerbangan akan dihubungi untuk memberitahu mereka tentang syarat pengasingan.

Australia membuka sempadannya kepada warga Singapura yang lengkap divaksin pada 21 November, selepas Singapura meluaskan skim laluan penumpang sudah divaksin untuk merangkumi Australia awal bulan ini.

Pada Sabtu, pihak berkuasa New South Wales menyatakan mulai Ahad, semua ketibaan dari luar negara mesti mengasingkan diri selama sekurang-kurangnya tiga hari.

Australia pada Isnin menghentikan rancangan untuk membuka semula sempadan antarabangsanya kepada pekerja berkemahiran serta pelajar, didorong oleh kebimbangan terhadap varian Omicron yang baru. Perdana Menteri Scott Morrison berkata pembukaan semula pada 1 Disember akan ditangguhkan sekurang-kurangnya dua minggu.

Related posts

Leave a Comment