Piagam MN sudah ‘dikoyak’

SEMALAM, 14 September adalah ulang tahun ketiga lahirnya Piagam Muafakat Nasional (MN), satu kerjasama politik yang melibatkan dua parti utama orang Melayu Islam yang selama ini begitu kuat ‘permusuhan’ mereka iaitu UMNO dan Pas.

Melalui Himpunan Penyatuan Ummah (HPU), Piagam MN ditandatangani Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Abdul Hadi Awang di hadapan ribuan pemimpin dan anggota kedua parti di Dewan Merdeka, PWTC,

Ada tangisan mengiringi pemeterian itu. Manakan tidak, jika selama ini mereka ‘berperang dan berparang’ terutama setiap kali pilihan raya tetapi kali ini mereka ‘bersatu dan berpakat’ di pentas yang sama dengan matlamat yang sama.

Tetapi apa lagi yang hendak diraikan ulang tahun itu? Piagam MN tinggal catatan sejarah. Jika ada poster piagam, ia sekadar untuk bacaan atau digantung di dinding. Kopiah, baju dan pelbagai cenderahati berkaitan HPU dan MN sekadar kenangan.

Mungkin ada satu dua isi kandungan Piagam MN boleh terus diberikan perhatian atau tumpuan walaupun UMNO dan Pas sudah tidak bersama.

MN sudah ‘koyak’ walaupun tidak ada majlis rasmi mengenainya. Tidak seperti permulaannya, tiada pengisytiharan bahawa hayat MN sudah berakhir. Tetapi jika dibaca kenyataan pimpinan UMNO, hakikatnya MN sudah tinggal nama.

Pas pula masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan UMNO. Seperti kata Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini “MN masih belum mempunyai ‘batu nisan’ dan tiada siapa mengisytiharkannya ditamatkan”

Ada yang berpandangan MN secara prinsipnya ‘tidak dilihat seperti hidup, tetapi ia masih lagi belum mati’.

Seperti ditulis di ruangan ini sebelum ini,  “Ikatan MN terlerai di pintu PRU15” (Pilihan Raya Umum Ke-15) sedangkan inilah detik-detik yang sepatutnya MN dalam keadaan siap siaga turun dengan yakin menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Malangnya UMNO dan Pas sekadar ‘memanaskan badan’, tidak sempat masuk gelanggang sebenar satu pasukan campuran yang mantap menghadapi lawan. Kerjasama di beberapa pilihan raya kecil lalu hanyalah sesi memanaskan badan.

Nampaknya kejatuhan kerajaan 22 bulan PH mempunyai hikmah tersendiri. Pertama apabila UMNO, Pas, Bersatu serta bekas anggota PKR dengan sokongan gabungan parti di Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin diangkat sebagai Perdana Menteri dengan anggota Kabinetnya diwakili parti-parti berkenaan.

Kedua, kejatuhan kerajaan PH turut merobohkan MN yang jika mampu bertahan sehingga PRU boleh mengugat kedudukan PH. Nyata kehadiran ‘orang ketiga’ akhirnya merenggangkan hubungan mesra UMNO-Pas sejak Piagam MN.

Ketika MN masih berkira-kira untuk didaftarkan, Bersatu lebih pantas memintas dengan mendaftarkan PN yang bersamanya ada Pas. Tindakan Pas berada dalam dua gabungan parti politik – PN dan MN atas alasan perpaduan parti Melayu.

Pas sepatutnya memahami situasi politik. Orang politik perlu lebih arif membaca ‘sepak terajang’ politik. Walaupun dalam politik 1001 kemungkinan boleh berlaku kawan jadi lawan atau sebaliknya, realitinya, UMNO tidak boleh menerima Bersatu.

Benar hasrat Pas untuk penyatuan parti Melayu tetapi tidak kena parti. Mudah sahaja perbandingan. Jika Pas berada di tempat UMNO, adakah Pas bersedia menerima Amanah? Ini bukan percaturan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apabila Pas memilih PN untuk bersama Bersatu, maka orang di luar politik pun dapat faham bahawa kerjasama melalui MN lambat laun akan berakhir.

Begitulah bahayanya kehadiran orang ketiga atau ada yang bermain ‘kayu tiga’. Ditambah pula dalam politik, kuasa dan kerusi sering menjadi punca pergolakan yang akhirnya boleh memecah belahkan perpaduan.

Sebabnya mudah. Mana mungkin UMNO boleh menerima Pas berkawan dengan Bersatu yang menjadi ‘musuh nyata’ politik yang mahu membunuh UMNO? Tidak mungkin UMNO terjun ke dalam ‘kolam PN’. Amat mudah untuk memahami politik.

Hari ini ketika mengingati ulang tahun pemuafakatan ini, mungkin ada yang menangis mengenangkan berakhirnya persefahaman MN. Seluruh peringkat parti yang sebelum ini bersama di gelanggang pilihan raya kecil akan kembali ‘bergasak’.

Walaupun masih ada yang mengharapkan penyatuan melalui MN ini boleh dikembalikan tetapi kata putus sudah dibuat UMNO.

Seperti kata Zahid : Kini UMNO perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak tanduk dan sikap Pas sendiri. Tak perlu sedu sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,”.

Inilah realiti politik yang perlu dihadapi penyokong Pas dan UMNO.

Related posts

Leave a Comment