83,783 pengundi 18 pada September

PUTRAJAYA 2 Dis. – Seramai 83,783 nama warganegara berusia 18 tahun ke atas, didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu dalam tempoh 1 September hingga 30 September lalu.

Bagi pemilih terbabit boleh membuat semakan mulai hari ini sehingga hujung bulan ini melalui Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2022 (DPT BLN9/2022), yang sudah diwartakan, 

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, dalam satu kenyataan berkata, selain pengundi muda, daftar pemilih itu turut menyenaraikan 27,104 pemilih yang bertukar bahagian pilihan raya dan 11,049 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“SPR menyeru kepada warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 September hingga 30 September 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2022.

Jika nama mereka tiada, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C (tuntutan) melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan,” katanya.

SPR menyediakan lima kaedah untuk semakan iaitu menerusi portal SPR di https://www.spr.gov.myatau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Ikmalrudin berkata, pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan bahagian pilihan rayanya, boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke pejabat Pilihan Raya Negeri berkenaan.

Katanya, Borang C dan Borang D boleh dimuat turun daripada portal Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my serta mengemukakannya kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan.

Related posts

Leave a Comment