BN Sabah teliti senarai calon

KOTA KINABALU 14 Sept. – Barisan Nasional (BN) Sabah, khususnya UMNO sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagiannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, berkata ketika ini BN negeri sedang meneliti senarai calon terbabit sebelum membuat keputusan nama yang dirasakan paling layak untuk dicalonkan.

“Apabila tiba masanya nanti, kita akan mengumumkan calon-calon yang bertanding itu,” katanya dalam satu kenyataan mengenai persediaan BN Sabah untuk menghadapi cabaran PRU-15, di sini.

Ia susulan pertemuan Sesi Libat Urus PRU-15 Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Negeri Sabah bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di Bangunan UMNO Sabah, Ahad lalu.

UMNO Sabah mempunyai 25 bahagian, tetapi beberapa bahagian dijangka diberikan kepada parti komponen BN, khususnya MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Ketika ini PBRS menyandang satu kerusi iaitu di Pensiangan, manakala MCA tiada kerusi, tetapi lazimnya diberi kepercayaan bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina khususnya di kawasan bandar.

UMNO Sabah pula menyandang dua kerusi iaitu Kinabatangan dan Kimanis, namun parti itu menuntut untuk kembali meletakkan calon di semua bahagian yang pernah diwakilinya pada PRU-14.

Pada 2018, UMNO Sabah bertanding 14 kerusi dan menang tujuh daripadanya, namun lima Ahli Parlimennya keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Related posts

Leave a Comment