ETS Padang Besar dilanjutkan ke JB

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Mulai 1 Januari 2026, Perkhidmatan Shuttle Timuran laluan Gemas – Kuala Lipis ditambah kepada enam perkhidmatan sehari manakala empat perkhidmatan tambahan tren elektrik (ETS) bagi laluan KL Sentral-JB Sentral – KL Sentral.

Bagi laluan terus JB Sentral-Padang Besar, dua perkhidmatan sedia ada iaitu Padang Besar – Segamat – Padang Besar akan dilanjutkan sehingga ke JB Sentral, bagi melengkapkan akses terus dari kawasan utara ke Johor Bahru.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataanya berkata, inisiatif ini selaras usaha berterusan meningkatkan kapasiti, ketersambungan dan keselesaan perjalanan antara negeri.

“Bagi penduduk Pantai Timur, inisiatif ini memberi peluang kepada pengguna yang ingin membuat perjalanan ke Johor Bahru, menikmati pengalaman menaiki ETS3 melalui transit di stesen Gemas,” katanya.

KTMB berkata, jualan tiket bagi perkhidmatan berkaitan akan dibuka bermula pukul  12 tengah hari esok.

Jualan tiket ini dibuka bagi tempoh enam bulan sehingga Mei 2026 bagi memenuhi keperluan pengguna untuk bercuti khususnya ketika cuti umum dan musim perayaan seperti Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.

KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.

Tiket boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.myatau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknikal KTMB yang juga Pemangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Nizam Mohamed Amin, berkata jajaran perkhidmatan tren elektrik dari Padang Besar hingga Johor Bahru bukan sahaja memperkukuh rangkaian rel nasional, malah membuka lembaran baharu kepada masa depan pengangkutan rel yang lebih mapan, moden dan mesra rakyat.

“Pencapaian ini turut memperluas pilihan mobiliti awam lebih selesa, cekap dan selamat, sekali gus memberi alternatif lebih berkualiti kepada rakyat Malaysia untuk perjalanan jarak jauh dan antara bandar.

“Ia juga seiring aspirasi kerajaan dalam memperkasa pengangkutan awam dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.

Pada 12 Disember lalu, perkhidmatan ETS3 yang menghubungkan laluan JB Sentral – KL Sentral memulakan operasi rasminya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment