Agihan kerusi GPS seperti PRU14

KUCHING 13 Sept. – Empat parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepakat dalam pembahagian kerusi Parlimen iaitu sama seperti agihan yang dibuat ketika parti berkenaan bersama Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Pengerusi GPS, Abang Johari Abang Openg, berkata parti komponen iaitu adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Katanya, GPS kini bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.

“Jentera pilihan raya sudah kami tubuhkan dan pembahagian kerusi juga kami putuskan atas semangat GPS, Sarawak Didahulukan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi GPS di sini, malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, PBB bertanding di 14 kawasan, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat).

Abang Johari berkata, persediaan rapi juga dilaksanakan GPS berikutan PRU-15 ialah ujian pertama mereka bertanding pada peringkat nasional menggunakan lambang sendiri.

“Kami sepakat untuk bergerak dalam satu pasukan sebab GPS kestabilan politik negara adalah keutamaan. Menerusi kesepakatan ini, GPS akan menyumbang kepada kestabilan itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment