Sultan zahir ucapan takziah

SHAH ALAM 13 Sept. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain dan seluruh rakyat negara itu atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, Ratu Elizabeth II akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan dikasihi sebagai seorang Ratu yang mendedikasi seluruh kehidupannya untuk rakyat.

“Pemerintahan baginda boleh disifatkan sebagai suatu kewajipan, dedikasi dan komitmen kepada negaranya dan negara-negara Komanwel,” demikian catatan melalui Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Beberapa keping gambar lama yang melibatkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Sultan Sharafuddin Idris Shah turut dimuatkan melalui Facebook itu.

Menurut catatan itu, Ratu Elizabeth II dikagumi dan dihormati di seluruh dunia sebagai tokoh kestabilan dan perpaduan sepanjang hayat yang membawa perubahan besar.

Ratu Elizabeth II pernah melawat Malaysia beberapa kali dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama dengan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Istana Alam Shah di Klang pada 1972 dan 1989, sebagai sebahagian daripada Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) dan melawat Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Kenyataan itu juga menyebut Sultan Sharafuddin turut berkenan untuk berangkat ke majlis santapan di atas kapal HMS Britannia semasa kapal itu berlabuh di Pelabuhan Klang pada 1972 dan 1989, atas jemputan Ratu Elizabeth II.

Ratu Elazabeth II juga sentiasa bermurah hati dan sering terlibat dalam perbincangan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dengan rakyat Selangor dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment