6.2 juta berdepan kekurangan makanan

MOSCOW: Lebih 6.2 juta atau 28 peratus daripada penduduk di Sri Lanka berdepan masalah kekurangan makanan, manakala 66,000 orang lagi mengalami krisis makanan yang teruk pada Oktober 2022 hingga Februari 2023.

Menurut laporan bersama, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Program Makanan Sedunia (WFP), situasi dijangka bertambah buruk melainkan ditangani dengan bantuan sosial dan mekanisme sokongan sara hidup.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa isu keselamatan makanan di negara itu “mungkin terus merosot didorong oleh kekurangan barangan import, kenaikan harga barangan, masalah peluang pekerjaan dan hasil tanaman yang berkurangan.

Sri Lanka berdepan krisis ekonomi paling teruk sejak negara itu mencapai kemerdekaan daripada British pada 1948.

Situasi itu berpunca daripada kekurangan mata wang asing dan jumlah ketibaan pelancong asing merosot akibat pandemik Covid-19.

Pandemik itu juga telah memberi kesan negatif terhadap kiriman wang daripada warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara.

Negara itu turut berdepan isu kekurangan makanan dan keperluan asas yang teruk, termasuk bahan api dan gas.

Related posts

Leave a Comment