Lokman diperintah padam video

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Lokman Noor Adam, memadamkan semua video di media sosial mengandungi kenyataan fitnah terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Peguam Ismail Sabri, Ragunath Kesavan, berkata perintah itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, membenarkan permohonan ‘ex-parte’ (sebelah pihak) dikemukakan Ismail Sabri selaku plaintif, terhadap Lokman yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sebagai defendan.

Katanya, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi memaksa defendan mengeluarkan video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM (Perdana Menteri) Ada Masa Jumpa Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) – Lokman Adam’.

Video itu dimuat naik di akaun Youtube, Facebook, Instagram dam TikTok defendan. Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi untuk menghalang defendan sama ada secara sendiri atau ejennya, daripada membuat kenyataan serupa di media sosial atau apa-apa laman web lain milik defendan.

Perintah ‘ex-parte’ dikeluarkan hari ini, hingga pendengaran ‘inter-parte’ (dua pihak) pada 26 September ini.

Related posts

Leave a Comment