DUN Terengganu bersidang tanpa pembangkang

KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini mencatat sejarah dengan ketiadaan blok pembangkang berikutan Perikatan Nasional (PN) menyapu bersih semua kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.

Sesi persidangan DUN Terengganu berlangsung dengan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Pertama DUN ke-15 yang menyaksikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu.

Turut hadir Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Speaker DUN Terengganu, Mohd Nor Hamzah dan Timbalan Speaker, Khazan Che Mat.

Pada PRN Terengganu 12 Ogos lalu, gabungan Pas dan Bersatu buat julung kalinya memenangi semua 32 kerusi yang dipertandingkan sekali gus menyaksikan tiada wakil pembangkang dalam DUN bagi penggal kali ini.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pas memenangi 22 kerusi DUN manakala BN menang 10 kerusi.

Related posts

Leave a Comment