GAZA – Sekurang-kurangnya 13 rakyat Palestin, termasuk beberapa kanak-kanak, terbunuh dalam siri serangan udara terbaru Israel di beberapa lokasi termasuk Bandar Gaza, Khan Younis dan Deir el-Balah semalam.
Pihak Pertahanan Awam Gaza memaklumkan serangan itu merupakan malam kedua berturut-turut operasi ketenteraan Israel di wilayah berkenaan.
Ia berlaku beberapa hari selepas Hamas dilaporkan menerima pelan pelucutan senjata yang menyaksikan kumpulan Palestin itu menyerahkan senjatanya kepada Board of Peace yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata operasi tersebut menyasarkan anggota militan di Gaza dan mendakwa dua pejuang Hamas terbunuh dalam serangan berkenaan.
Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian dicapai untuk menghentikan serangan ke atas Gaza, yang kini dilaporkan berada di bawah kira-kira 70 peratus kawalan Israel.
Beliau turut menyatakan bahawa Gaza perlu diletakkan di bawah kawalan penuh Israel sekiranya Hamas enggan melucutkan senjata, walaupun pelan Board of Peace mencadangkan pengunduran tentera Israel dari wilayah itu.
Dalam satu hantaran di platform X, IDF mendakwa telah membunuh dua komander Hamas, termasuk seorang anggota pasukan elit Nukhba dan seorang lagi daripada Batalion Maghazi.
Tentera Israel juga mendakwa seorang anggota Hamas daripada Batalion Jabalia di utara Gaza terbunuh dalam serangan berasingan minggu lalu.
