Lima sasaran utama DBN 20.0

KUALA LUMPUR 12 Sept. –  Gabungan Pusat Penyelidikan Bioteknologi Malaysia ditubuhkan bagi merealisasikan lima sasaran utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0), kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata gabungan itu membabitkan semua institusi dan institut penyelidikan berasaskan bioteknologi, yang mengendalikan dan mengemudi penyelidikan berdasarkan permintaan industri serta kepentingan strategik negara.

Justeru, katanya, satu badan penasihat pakar bioteknologi akan diwujudkan menerusi gabungan ini.

“Badan penasihat ini bagi menggerakkan agenda negara dengan lebih berfokus dan berasaskan kekuatan negara, seperti mendalami kekayaan biodiversiti negara yang boleh memperkasa tiga sektor bioteknologi seperti termaktub dalam DBN 2.0,” katanya berucap melancarkan DBN 2.0 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ahmad Hamzah serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Shafik Abdullah.

Perdana Menteri berkata, lima sasaran utama DBN 2.0 ditetapkan bagi memacu dasar itu sehingga 2030.

Pertama adalah memastikan 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif;

Kedua, sokongan kepada syarikat Bionexus yang berpotensi menjadi syarikat berstatus unicorn dan dalam konteks ini, kerajaan menyasarkan tiga syarikat bio-inovasi berstatus unicorn menjelang 2030;

Ketiga, pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia;

Keempat, lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara oleh syarikat bioteknologi; dan

Kelima, sebanyak 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah.

Related posts

Leave a Comment