JPBD diaktif segera hadapi bencana

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan pegawai daerah, akan diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob,

Langkah itu adalah bagi menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.

Menurut Ismail Sabri, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) hari ini.

JPBD mempunyai fungsi penting untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta penyampaian bantuan di lokasi bencana, sementara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan JPBN menyelaras di peringkat pusat serta negeri.

Bagi aspek pengurusan mangsa, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas. Kementerian Pendidikan (KPM) diarah supaya asrama sekolah tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan orang ramai yang terjejas khususnya warga  emas, anak-anak kecil dan wanita.

JKM perlu menyediakan makanan ‘retort’ dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, NADMA sudah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah ‘cubicle tent’ bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana.

“JPBN dan JPB Daerah perlu bersedia lebih awal bagi memastikan bantuan bekalan sampai di semua lokasi bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya. Sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana monsun timur laut kepada JPBN untuk kegunaan 160 daerah.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai ‘initial responder’ ketika berlakunya bencana,” katanya.

Ismail Sabri berkata, 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara digerakkan dengan semua aset perlu dikoordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.

“JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi sering dinaiki air berfungsi dengan baik. Mesyuarat bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Di samping itu pengumuman berpindah akan turut dibuat pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara. Seluruh rakyat khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

Katanya, semua agensi terbabit khususnya di peringkat negeri dan daerah bencana diarah memastikan kelancaran bantuan kepada Keluarga Malaysia yang terjejas dengan penyelarasan komunikasi yang cekap dan efisien.

Secara keseluruhannya katanya, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

“Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang membabitkan 12,534 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Related posts

Leave a Comment