Jawatankuasa kaji kos pesakit demensia

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan satu jawatankuasa bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mengkaji peningkatan penjagaan sosial di peringkat komuniti dapat dilakukan termasuk bagi penghidap demensia.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia termasuk mengkaji bagaimana peranan penjagaan komuniti dapat dipertingkatkan melalui peruntukan tambahan bagi membantu keluarga yang tidak mampu menggajikan jururawat untuk bersama ahli keluarga yang menghidap demensia.

“Kita tahu semakin ramai yang didiagnos dengan penyakit terutama demensia. Demensia ini adalah sesuatu yang menyebabkan kemerosotan kepada fungsi kognitif dan akhirnya mereka tidak boleh berfungsi seperti normal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Schizophrenia (Edisi Kedua) hari ini.

Khairy berkata, selain penubuhan jawatankuasa itu, KKM juga dapat mempelajari amalan penjagaan dari negara luar seperti United Kingdom berikutan sistem penjagaan sosial negara terbabit sangat maju.

“Mereka boleh hantar pekerja sosial mereka untuk menjaga ahli keluarga, memberi sokongan kepada pesakit yang menghidap demensia dan masalah yang menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi dengan normal,” katanya.

Beliau berkata, isu kesihatan mental semakin bertambah memandangkan masyarakat di negara kita menunjukkan trend menua disebabkan usia rakyat Malaysia.

“Justeru, kita memerlukan pelaburan, bukan hanya dalam bidang klinikal dengan menambah pakar dalam bidang itu, tetapi sokongan yang boleh diberi di peringkat pemulihan terutama bagi membantu ahli keluarga (caregiver) yang mungkin tidak dapat memberikan sokongan yang memuaskan disebabkan bebanan besar.

“Pesakit ini memerlukan penjagaan yang bukan sekejap tetapi sepanjang masa,” katanya.

Related posts

Leave a Comment